« August 2006 | Main | October 2007 »

DEBAT PIALA UIAM 2007 (SIRI KE-2 DAN UNTUK TERAKHIR KALINYA)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Ketemu kita sekali lagi di dalam blog ini, atas topik yang sama, dalam siri ke-2 dan mungkin yang terakhir kalinya, untuk menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Saya ingatkan apabila saya menulis di dalam topik yang sama untuk kali pertama, bagi menjawab persoalan-persoalan yang dilemparkan, mungkin redalah suasana dan hiruk pikuk suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemenangan MCKK tempoh hari. Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya, keadaan menjadi semakin haru biru dan kelam kabut.                 

Baiklah, untuk menjawab persoalan baru yang dikemukakan, suka untuk saya ingatkan kepada semua, bukan saya yang memulakan pertikaian tentang pertandingan akhir Debat Piala UIAM yang telah 10 hari berlalu. Malah, apa yang lebih menyedihkan, mereka menasihati saya pula untuk membiarkan perkara yang telah berlalu dan jangan diungkit lagi perkara yang telah lepas, akan tetapi, sayangnya, di sebuah laman web di luar sana, ada pihak pula yang cuba mengkritik keputusan jemaah hakim pada pertandingan akhir tersebut dan menyediakan ‘poll’ untuk undian, bertanyakan siapakah yang patut menang, adakah MCKK ataupun SSP. Dan setakat yang saya perhatikan, keputusan lebih berpihak kepada pasukan SSP. Pihak ini nyata sekali bercanggah dengan diri sendiri, kata hendak membiarkan yang menang dengan kemenangannya, dan yang kalah dengan kekalahannya, akan tetapi perdebatan dan undian yang dijalankan, menggambarkan pihak tersebut bukan sahaja tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di alam nyata, malah cuba pula untuk membuat keputusan sendiri di alam maya. Cuba bayangkan betapa luluhnya perasaan mereka yang menjadi subjek di dalam isu ini, mereka telah mengecap nikmat kemenangan, namun ada pula suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemenangan mereka. Mungkin pihak-pihak terbabit lebih suka memuaskan hati sendiri dengan menulis semahu dan sesedap rasa mereka tanpa mengambil kira perasaan mereka yang tidak berdosa ini. Entahlah, saya pun tidak tahu apa yang akan terjadi kepada manusia seperti ini. Saya ada terbaca artikel-artikel di sebuah laman web yang tajuknya berbunyi ANALISA, namun isinya penuh dengan 1001 pertikaian dan keraguan tentang keputusan akhir tersebut. Kalau berharap pada nama dan tajuk sahaja, saya kira tidak akan ada satu artikel pun yang buruk, hatta kalau surat George W Bush kepada Mahmoud Ahmadinejad yang intipatinya berbentuk ancaman perang atau sekatan dagang, namun kalau tajuknya adalah SURAT  KEPADA PRESIDEN IRAN, maka jatuh hukum kepada surat tersebut adalah mulia dan baik-baik sahaja kerana tajuknya tidak pernah ada perkataan yang berbentuk negatif, walaupun isinya, hanya Tuhan Yang Lebih Mengetahui. Nasihat saya, jangan cuba berselindung dengan tajuk semata-mata, namun apa yang lebih penting adalah, sila lihat pada isi kandungannya.

Saya telah mendapat respon dan ‘feedback’ daripada pembaca-pembaca di luar sana,malah ada juga bekas pelajar SSP yang juga pendebat di peringkat universiti sendiri bersetuju dengan apa yang saya perjelaskan di dalam blog saya baru-baru ini. Lihat, kalau bekas pelajar SSP sendiri dapat menerima kekalahan pasukannya, mengapa pula pihak-pihak lain yang saya kira tidak ada kena mengena dengan pasukan SSP pun, hendak bertindak berlebih-lebihan? Mungkin inilah yang dikatakan peribahasa, lebih sudu daripada kuah. Malah, pendapat peribadi saya sendiri, tulisan saya baru-baru ini disampaikan dengan penuh berhemah dan saya menjawab dengan penuh berhikmah, tidak timbul perkataan-perkataan yang membawa maksud seperti ‘p*kak’ seperti yang ditulis seseorang di luar sana, apatah lagi perkataan yang membawa maksud carutan seperti yang didakwa di sebuah laman web di luar sana. Melainkan perkataan ‘terbabit’ juga telah dianggap sebagai satu bentuk carutan, saya kira saya harus menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengesahkan perkara tersebut. Bukan apa, saya risau juga, kerana ada pihak yang mendakwa saya mencarut dalam blog yang saya nukilkan ini. Setelah dianalisa, yang dikatakan mencarut itupun adalah perkataan ‘terbabit’. Pelik bukan? Tidak mengapa, saya menerima dengan hati yang terbuka. Saya bukanlah cepat melatah dan cepat melenting seperti yang didakwa, namun apa yang saya lakukan adalah sekadar mempertahankan maruah alma mater tercinta, setelah diasak dan digasak dengan 1001 tohmahan dan kejian, mungkin ada yang terasa di sebalik hasil tulisan saya, ampun dan maaf saya pinta kepada mereka yang terasa.

Kepada Cikgu Manaf dari MRSM Balik Pulau, saya tidak akan melupakan memori pada tahun 2003 sewaktu mengadakan debat persahabatan dengan MRSM Balik Pulau atas pertolongan Saudari Farhaneen Afzal Mazlan. Layanan mesra cikgu dan pelajar-pelajar MRSM Balik Pulau tetap saya kenang sepanjang zaman, Cuma yang saya harapkan daripada cikgu adalah jangan biarkan ukhwah yang telah terbina sekian lama terputus di pertengahan jalan, hanya kerana perbezaan fahaman dan buah fikiran.

Saya tidak berniat untuk memberi apa-apa komen peribadi tentang pertandingan akhir tersebut, kerana saya sedar dengan pengalaman dan pengetahuan yang tidak seberapa di dalam dunia perdebatan ini, siapalah saya untuk berceloteh mengenainya. Cuma, tahniah yang tidak terhingga kepada kedua-dua pasukan; MCKK dan SSP atas persembahan yang cukup menakjubkan sewaktu berdebat di peringkat akhir pada 17 April yang lalu. Masih ada banyak kelemahan yang perlu diatasi dan kesilapan yang perlu diperbaiki. Nasihat saya, lupakan apa yang berlaku dalam Debat Piala UIAM yang lalu, buka buku baru dan berusaha dengan lebih gigih dalam Pertandingan Debat PPM di SAKTI tidak lama lagi.

Nasihat saya kepada pihak-pihak yang acapkali menimbulkan kontroversi dan kerapkali mensensasikan sesuatu berita, banyak-banyakkanlah bertaubat dan berhentilah daripada membuat cerita-cerita karut yang tidak logik diterima akal. Daripada anda membuang masa membincangkan perkara-perkara yang tidak membantu langsung untuk membangunkan minda, lebih baik anda semua membaca buku dan melayari internet untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan menajamkan akal fikiran. Debat merupakan seni pengucapan awam yang melatih keyakinan diri untuk berucap di khalayak umum. Kalau kita hanya berdebat di alam maya, kita tidak akan dapat melatih kemahiran ini dan kita mungkin boleh menjadi seorang pengkritik atau penulis yang baik, namun belum tentu berupaya menjadi pendebat yang baik.

Jangan risau, saya tidak akan melayan sebarang cubaan untuk membidas atau mengkritik saya di lain masa, kerana ini adalah pendapat peribadi saya. Saya juga tidak akan menulis lagi tentang Debat Piala UIAM 2007 ini, banyak lagi perkara berfaedah yang dapat saya lakukan daripada melayan karenah pihak-pihak tertentu. Hidup perlu untuk diteruskan, kepada semua, selamat berjaya dalam menempuh hari-hari yang mendatang, jangan asyik menoleh ke belakang, kelak langkah menjadi pincang, tingkah menjadi songsang, akhirnya anda juga yang kecundang. Terima kasih. Assalamualaikum

                            

DEBAT PIALA UIAM 2007

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera untuk semua.. Alhamdulillah, akhirnya tamat sudah Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah Malaysia, anjuran UIAM untuk tahun 2007 ini. Keputusannya, ada yang telah tahu, ada yang belum mendengar perkhabarannya. Untuk kategori Bahasa Melayu, johan disandang oleh MCKK, dengan keputusan juri 9-0, dan untuk kategori Bahasa Inggeris, SAS merupakan juara baru menggantikan St Xavier yang telah menjadi johan bahas Bahasa Inggeris 3 tahun berturut-turut sebelum ini, menewaskan STAR dengan juri 6-3. Selaku salah seorang coach atau jurulatih pasukan debat BM MCKK, saya berasa sangat bangga dan puas setelah menunggu 4 tahun lamanya untuk alma mater kesayangan saya ini begelar juara, seawal saya menyertai pertandingan ini sewaktu saya berada di tingkatan 5, sehinggalah setelah 3 tahun meninggalkan MCKK yang tercinta, akhirnya Piala Tun Sri Lanang menjadi milik kami jua. Kepada pasukan yang bergelar juara, Aslam selaku kapten pasukan dan Aleng, ketua pelajar yang sinikal dalam diam, Fendy si tembam yang suka berseloroh, kesemuanya telah saya didik seawal di Tingkatan 1 lagi, Mus’ab pendebat simpanan yang masih belum sempat saya kenali dengan lebih dekat, sekalung tahniah saya ucapkan kepada anda berempat!! Kepada pasukan ke-2, diketuai oleh Yuhaikal, comel dengan sirna mata yang menggoda, Aqwa dengan senyuman ala-ala pontianak, Nash yang diharamkan makan ayam tapi boleh pulak makan nugget ayam, dan Aniep yang kecil macam budak darjah 3, tahniah juga diucapkan kepada anda semua kerana tanpa latihan intensif, anda semua layak ke pusingan octo final dengan menduduki ranking ke-7 setelah tamat pusingan awal, lebih tinggi daripada pasukan pertama, suatu prestasi yang cukup mengagumkan! Kepada pasukan bahas Bahasa Inggeris, diketuai oleh Ed, dibantu oleh Nab yang semakin membesar dan Rashad yang semakin suka mengumpul jerawat di muka, tidak dilupakan Fido yang tidak membesar dari dulu lagi, tahniah juga kepada anda semua kerana telah berjaya memenangi kesemua 7 pusingan awal meskipun tersungkur di pusingan separuh akhir. Kendatipun begitu, apabila ketiga-tiga pendebat utama berjaya menempatkan dalam top 10 overall best speaker, itu satu rekod yang perlu untuk dipuji dan disimpan sebagai kenangan terindah bersama. Tidak dilupakan, tahniah yang tidak terhingga kepada guru-guru; Cikgu Umi, Cikgu Azfa, Cikgu Sharifah, Cikgu Safaliza atas pencapaian anak-anak murid cikgu ini. Kepada kesemua jurulatih pasukan bahas MCKK; Abg Raf, Abg Ben, Abg Allen, Abg Kanoe, Abg Fazurin, Helman, Haqqa, dan Bucks, kejayaan ini milik kita bersama!! Baiklah, saya kira pasti ada yang tertanya-tanya, mengapakah saya kembali menulis di dalam blog yang tidak seberapa ini. Mungkin juga ada yang telah tahu sebabnya. Biarlah saya merungkai segala kekusutan di minda. Apabila maruah kita dicabar dan dicalar, perlu untuk kita bertindak balas ke atas mereka yang memulakan sengketa. Apabila ada yang mempertikaikan ketelusan dan kejujuran cara kita bekerja, perlu untuk kita menerangkan hakikat sebenar supaya tidak timbul lagi sebarang isu yang melanda. Saya suka untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh sebuah laman web di internet sana, mengaku untuk membangunkan dunia debat di Malaysia kononnya, sayangnya pengakuan itu lenyap di sebalik segala tohmahan, kejian dan cacian yang tidak terhingga. Pertikaian tentang keputusan akhir debat Piala Tun Sri Lanang; SSP selaku kerajaan dan MCKK selaku pembangkang. Dengan usul ‘Peperangan Adalah Jalan Terbaik’, perdebatan dimulakan oleh meja kerajaan dan diakhiri dengan ucapan penggulungan, juga dari meja kerajaan. Saya tidaklah arif tentang dunia debat ini, mungkin tidaklah sehebat mereka yang berada dan memberi idea di sebuah laman web sana, tetapi setidak-tidaknya saya tahu tentang roh sesebuah perdebatan. Pada hemat saya, apabila perdebatan hanya didasari aspek teknikal; sebagai contoh memberi celahan, ‘KETUA PEMBANGKANG TELAH MENERIMA DEFINISI PERDANA MENTERI, ANDA PERLU UNTUK MENGIKUT LANDASAN DI MEJA KERAJAAN’ atau ‘BUKANKAH KAMI SUDAH BERCERITA, KAMI TIDAK INGIN MEMBINCANGKAN DIPLOMASI YANG BERJAYA, KAMI INGIN BINCANGKAN DIPLOMASI YANG BUNTU, KEMUDIAN MENGAMBIL JALAN PEPERANGAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH’, debat itu tidak lagi bermakna. Lihat, perdebatan yang hanya bertunjangkan teknikaliti, tidak memperdebatkan tentang hujah dan tidak menunjukkan kematangan akal fikiran menerusi pembentangan fakta-fakta yang relevan, menyebabkan para hakim bosan dan tidak lagi berminat untuk mendengar perbincangan tentang aspek-aspek teknikal. Seperti yang para pendebat sedia maklum, markah untuk kaedah hanyalah 20 markah, soalnya sekarang,kenapa pendebat menumpukan kepada aspek teknikal melebihi daripada aspek isi yang mencakupi 40 markah? Bukan tidak boleh mengikat pihak lawan dengan definisi konsep yang disampaikan, boleh benar, cuma apabila pihak lawan tidak boleh buktikan diplomasi yang berjaya, pihak lawan juga tidak boleh membuktikan kesan, maka apakah nilai perdebatan itu? Adakah kita hanya akan menyaksikan kedua-dua belah pihak di pentas pusingan akhir yang hanya hebat dari segi persembahan namun kosong dari aspek penghujahan dan hanya berdebat bertunjangkan kesilapan teknikal pihak lawan? Saya pasti, kalau begitulah yang dituntut oleh pihak-pihak tertentu di sebuah laman web nun di luar sana, pada hemat saya, anda perlu beristighfar seketika. Sudahlah begitu, ada pula jurulatih sebuah pasukan ini yang cuba untuk mengatakan pasukan MCKK mengeluarkan fakta-fakta yang pelik-pelik, sehinggakan beliau sendiri tidak pernah dengar. Saya rasa, Perjanjian Camp David yang begitu penting dalam aspek sejarah peperangan dunia, ditandatangani antara Presiden Mesir Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin pada 17 September 1978 adalah wirid biasa untuk seorang pendebat yang digembar-gemburkan hebat di peringkat universiti. Bukankah apabila pendebat universiti itu tidak tahu, seolah-olah membuka pekung di dada sendiri, kerana pelajar sekolah menengah boleh tahu, takkan pendebat hebat seperti beliau tidak tahu, musykil bukan? Tidak tahu lah pulak, kalau-kalau pendebat itu cakap berdegar-degar, tahi terlekat di gelegar. Ini adalah satu peribahasa, boleh semak kalau tidak percaya. Maka, ujian fakta yang diajukan kepada pendebat SSP ini, bukan sahaja gagal dijawab, malah kegagalan untuk menjawab soalan tersebut dipuji pula oleh beberapa pendebat universiti ini. Saya pun tidak faham, apa yang sedang berlaku di dalam dunia debat sekarang. Ada pula pihak yang mengatakan pendebat ke-3 dari MCKK adalah raja retorik bahasa, tidak membidas kata mereka. Kalau tidak membidas, takkanlah pulak boleh dapat gelaran pembahas terbaik. Lagipun yang jadi hakim di pusingan akhir tu, bukanlah calang-calang orang. Kesemuanya orang dewasa, yang matang pemikirannya dan luas ilmu pengetahuannya, takkanlah bagi orang-orang yang ijazah pertama pun belum dapat, ada hati hendak mempertikaikan akan kredibiliti mereka yang menjadi hakim pada hari tersebut? Mungkin inilah yang dikatakan orang, pendebat universiti syok sendiri dengan dunia debat mereka tanpa mengambil kira perkembangan dunia nun di luar sana. Cukup menyedihkan. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang memfitnah, mengatakan tahun lalu MCKK layak ke pusingan akhir kerana Menteri Pelajaran nak tengok sekolahnya di pentas pusingan akhir. Wah, mudahnya tuduhan!! Habis tu, yang selama ini MCKK layak ke pusingan akhir dari tahun 2004, 2005 tu, ada ke Menteri Pelajaran waktu tu? Tinggal tanda tanya buat mereka yang mengata. Timbul lagi cerita, MCKK tewas kepada SBPI Gombak tahun lalu dengan juri 6-1, bukan 6-1 wahai penabur fitnah sekalian, 4-3 sebenarnya. Kalau hendak saya sebutkan siapakah yang memberi keputusan 3 kepada MCKK pun saya boleh ceritakan, namun demi menjaga integirti dan maruah diri, saya simpan maklumat tersebut sebagai rahsia untuk kami sendiri. Ada pihak juga cuba mempertikaikan keputusan separuh akhir MCKK menentang MRSM Pasir Salak, katanya tidak logik keputusan 9-0. Wahai insan-insan di luar sana, apa yang tidak logiknya, kalau WTO tu pun mereka tidak tahu, gagal bezakan dengan FTA, WTO yang wujud pada tahun 1995 pula dikaitkan dengan Perang Teluk 1991, memang keputusannya layak menjadi 9-0. Untuk makluman semua, kalau pun ada orang menyatakan 5 daripada 9 hakim sewaktu pertandingan akhir adalah dari MCOBA ataupun bekas pelajar MCKK, saya ternanti-nanti juga siapa orangnya, manalah tahu kalau-kalau pihak terbabit hendak dedahkan nama. Kalau 5 orang saya terfikir juga, tak kan Kak Kiah dan Kak Mie juga dari MCKK, kerana setahu saya selaku bekas pelajar MCKK, MCKK tidak pula mengambil pelajar perempuan. Entahlah, cerita dongeng dan fitnah besar ini terus menjadi tanda tanya. Di akhir penulisan ini, saya ingin memohon jasa baik pihak terbabit dan individu-individu tertentu untuk menghentikan segala tuduhan melulu dan tidak berasas yang mereka lemparkan kepada mangsa yang tidak berdosa. Perkara yang lepas biarkanlah berlalu, usah dikenang kisah dahulu. Siasat sesuatu perkara sedalam-dalamnya, baru boleh biarkan mulut berbicara. Jika tidak, kita akan terus hidup sebagai tin kosong yang tidak berisi, bunyinya kuat menggegar bumi isinya tiada sayang sekali. Kalau ada dendam peribadi, jangan semberono libatkan mereka yang tidak memahami, selesaikan dengan menggunakan akal budi, baru terangkat nilai manusiawi. Fikirkan bersama. Assalamualaikum.